Arkib

Archive for the ‘Tazkirah’ Category

Ahli Nujum di Facebook

April 23, 2010 Tinggalkan komen

Salam dari laci keempat…

Di mulakan dengan ‘Bismillahirrahmanirrahim’…semoga berkat perjalanan hidup kita di hari ini dan hari-hari mendatang. Selamat datang dan terima kasih kepada peminat-peminat baru Si Beloot D’ Blog. Kepada semua peminat, komen anda telah menaikkan semangat aku untuk terus menconteng kalimat di blog ini. Kali ini aku ingin berkongsi sesuatu yang selalu kita lihat atau mungkin kita pun selalu mencuba ketika melayari laman sosial facebook…

kuiz

Bagi mereka yang mendaftarkan akaun Facebook dan aktif menggunakannya pasti sedia maklum bahawa antara aplikasi menarik di dalam Facebook ialah membuat kuiz. Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Facebook boleh mencipta apa sahaja kuiz dengan hanya mengikuti aturan-aturan yang mudah. Kini, kedapatan lambakan bentuk kuiz yang tersedia dalam Facebook, dan sesetengah pengguna menjadi ketagih dengan kuiz-kuiz ini.

Dari sisi positif, aplikasi kuiz ini boleh dimanfaatkan sebagai satu medium dakwah yang menarik. Iaitu dengan mencipta kuiz-kuiz berbentuk ilmiah dan keagamaan. Sekurang-kurangnya pencipta kuiz boleh mempelajari skill membuat soalan yang berkesan dan pengguna yang menyertainya pula dapat mengulangkaji maklumat-maklumat yang mungkin sudah lama ditinggalkan.

Malangnya, kebebasan mencipta kuiz di Facebook telah disalahgunakan oleh sesetengah pengguna dengan membuat kuiz-kuiz yang boleh mencemarkan akidah dan kepercayaan. Antaranya kuiz horoskop, kuiz ramalan nasib, kuiz ramalan jodoh, kuiz ramalan di mana dan bila anda mati dan lain-lain.

Contohnya, dalam kuiz ‘Singkap Rahsia di Sebalik Nama’, jika seseorang bernama ALI menyertainya, setelah mengikuti aturan ringkas, jawapan yang akan diberikan adalah seperti di bawah:

ALI: 1+3+9=13
1 + 3 = 4

Nombor Rahsia disebalik nama anda ialah : 4

Mereka hanya akan bertindak apabila faham sepenuhnya tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Jika anda mengikuti kuiz ‘Singkap Rahsia Nombor Lahir Anda’ pula, dan anda memasukkan sebagai contoh tarikh 1 Januari 1979, maka ramalan yang tertera ialah:

1 + 1 + 1979 = 1981
1 + 9 + 8 + 1 = 19
1 + 9 = 10
1 + 0 = 1
Nombor Tarikh Lahir anda ialah :1
Golongan ini merupakan yang paling jujur dan boleh mempelajari dengan baik teknik diplomasi.

Tidakkah satu kejahilan tentang agama dan kebebalan yang melampau, apabila sikap seseorang insan boleh diketahui melalui ejaan namanya atau susunan tarikh lahirnya? Sejak bilakah Allah Taala menjadikan ejaan nama seseorang dan susunan tarikh lahir sebagai alamat bagi sifatnya?

Malah, terdapat juga kuiz-kuiz yang lebih dahsyat seperti kuiz meramalkan di mana dan bilakah anda mati. Berdasarkan soalan-soalan dalam kuiz seperti ini, saya percaya bahawa orang yang membuat kuiz ini hanya main-main sahaja. Tidak berdasarkan kepada mana-mana teori atau falsafah.

Contohnya, saya menjawab secara rambang satu kuiz bertajuk ‘Di mana kamu mati’. Jawapan yang tertera ialah:

Di Rumah.
Lu mati jatuh dari tangga paling atas ke bawah tanggal 03 Maret 2014.

KEWAJIPAN MEMELIHARA AKIDAH

Berdepan dengan kemunculan tukang ramal dan ahli nujum moden di dalam Facebook, kita sebagai orang beriman wajib mempelajari dan memelihara akidah yang sahih. Agar dapat mengelak daripada kemurkaan Allah, dan membezakan antara hak dan batil.

Ramalan nasib, ramalan kematian, dan ramalan jodoh yang berasaskan kepada kaedah nama, warna kegemaran, dan seumpamanya adalah satu pencemaran dalam akidah Qadha’ dan Qadar. Kerana ilmu tentang perkara ghaib adalah hak mutlak Allah Taala, yang tidak dikongsikan dengan sesiapa pun kecuali yang dikhabarkan kepada rasul-rasulNya.

Allah menegaskan dalam Al-Quran:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا إِلا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ

Maksudnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya. (Al-Jinn: 25-26).

HUKUM BERTANYA TUKANG RAMAL

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melarang umatnya daripada bertemu dengan tukang ramal, apatah lagi mempercayai ramalannya.

Sabda baginda:

من أتى عرافا فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة

Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu bertanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima sembahyang baginya selama empat puluh malam”. (Direkod oleh Muslim).

Di dalam hadis lain:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُول فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّد

Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur kepada apa yang diturunkan ke atas Muhammad”. (Direkod oleh Ashab Al-Sunan).

Mendatangi tukang ramal bukanlah satu kekufuran atau syirik secara mutlak. Menurut Syeikh Al-Utsaimin, ia boleh dibahagikan kepada tiga katagori.

Pertama: Orang yang datang kepada tukang ramal untuk bertanya ramalan sesuatu, tetapi tidak mempercayainya. Perbuatan ini adalah haram, dan balasannya ialah tidak diterima sembahyang selama 40 hari.

Kedua: Orang yang bertanya tukang ramal, dan mempercayai apa yang diramalnya. Perbuatan ini selain haram, ia menyebabkan jatuh kafir kepada Allah. Kerana mempercayai bahawa tukang ramal mengetahui perkara-perkara ghaib yang merupakan hak mutlak Allah. Ia juga satu bentuk mendustakan ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa ilmu ghaib adalah kepunyaan Allah semata-mata.

Ketiga: Orang yang bertanya tukang ramal kerana maslahah untuk menyelidiki dakwaannya. Supaya dapat dijelaskan pendustaannya atau diambil tindakan terhadapnya. Tindakan ini adalah harus sebagaimana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bertanya beberapa soalan terhadap Ibn Shoyyad.

Justeru, sebelum pengguna Facebook menyertai kuiz-kuiz ramalan, pastikan dulu dia termasuk dalam kategori manakah.

SEKADAR MAIN-MAIN

Sesetengah penagih kuiz-kuiz ini mempertahankan tindakan mereka dengan hujah kuiz-kuiz ramalan itu hanyalah satu bentuk permainan merehatkan minda sahaja, tanpa mempercayainya.

Sedarkah mereka bahawa dalam perkara Akidah, kita dilarang menjadikannya sebagai main-mainan dan olok-olokan? Bolehkah akidah tentang qadha dan qadar dijadikan main-mainan? Akidah bahawa Allah sahaja yang mengetahui perkara ghaib boleh dijadikan bahan mainan?

Di samping itu, adakah kita pasti kuiz-kuiz seperti itu langsung tidak memberi kesan kepada akidah pengguna Facebook yang rata-ratanya adalah remaja dan muda-mudi? Bagi saya, kuiz-kuiz ramalan di dalam Facebook adalah satu fitnah terhadap pengguna-pengguna Muslim, terutama mereka yang cetek ilmu agama.

Mereka yang bertanggungjawab mencipta kuiz-kuiz ini, hendaklah bertaubat kepada Allah kerana perbuatan mereka boleh membawa fitnah dan bencana kepada akidah orang Islam lain. Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ

Maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar. (Al-Buruj: 10).

Si Beloot : Yang baik kita kongsi…yang tak baik buanglah ketepi !

Categories: Al Beloot, Tazkirah, Umum

Kenapa Harus Tangguh Tidur ?

Salam dari almari jiran depan rumah…

Aku terima e-mail dari sorang kawan… Memberi aku suatu pesanan. Jadikan panduan sebelum mata kau pejamkan….katanya !

Jangan Tidur Lagi….

Seorang hakim berkata: “Seorang tidak boleh tidur sehingga menyelesaikan empat perkata”
• Jangan tidur selama dia percaya atas bumi ada musuh, sehingga minta halalnya, sebab kemungkinan dia mati sehingga dituntut oleh Allah s.w.t
• Jangan tidur jika masih rasa berdosa dan belum taubat daripadaNya, sebab kemungkinan dia mati dan dianggap terus dalam berdosa
• Jangan tidur sehingga menulis wasiat yang tepat, sebab mungkin dia mati tanpa meninggalkan wasiat
• Jangan tidur jika masih belum menyelesaikan kewajipan kepada Allah s.w.t

Seorang lagi hakim berkata: “Seorang di waktu pagi harus niat empat perkara”
• Menunaikan kewajipan terhadap Allah s.w.t
• Meninggalkan larangan Allah s.w.t
• Menyelesaikan dengan orang yang dia ada hubungan dagang dan sebagainya
• Memperbaiki hubungan dengan lawannya
Maka jika dia pagi-pagi ada niat yang demikian ada harapan termasuk orang soleh yang untung.

Manusia pada waktu pagi ada tiga macam:
• Sebahagian mencari harta
• Sebahagian mencari dosa
• Dan sebahagian mencari jalan yang diredhai Allah s.w.t

i. Yang sibuk mencari harta, maka dia tidak akan makan lebih daripada rezekinya meskipun hartanya sangat banyak.
ii. Dan yang sibuk mencari dosa, maka pasti mendapat kehinaan
iii. Dan yang mencari jalan menuju keredhaan Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan memberinya rezeki dan jalan.

Si Beloot : pejam celik pejam celik pejam celik…pastu pejam tak celik celik…

Categories: Al Beloot, Santai, Tazkirah, Umum

Apakah Dia Kunci-kunci Syurga Itu ?

Salam dari luahan sang Jerangkung…

Andai ada yang bertanya,” Apakah dia kunci-kunci syurga itu ?…”

Untuk menjawab persoalan ini, mari kita ikuti satu kisah benar yang terjadi di antara seorang pemuda Muslim dan seorang paderi Katolik.

Kisah ini menyimpan banyak rahsia besar. Rahsia yang menyingkap apakah silibus yang diajar kepada setiap paderi Katolik di Vatikan. Dan apakah fungsi Al-Quran di dalam altar khas di Perpustakaan Vatikan.

Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan pengajiannya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang juru dakwah Islam.

Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula-mula dia keberatan, namun kerana desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, “Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini.” Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya.

Hingga akhirnya paderi itu berkata, “Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya.” Barulah pemuda ini beranjak keluar. Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, “Bagaimana anda tahu bahwa saya seorang Muslim?” Paderi itu menjawab, “Dari tanda yang terdapat di wajahmu.”

Kemudian dia beranjak hendak keluar.

Namun, paderi ingin memanfaatkan keberadaan pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim itupun menerima tentangan debat tersebut.

Paderi berkata, “Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat.” Si pemuda tersenyum dan berkata, “Silakan!”

Sang paderi pun mulai bertanya, “Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada lapannya, lapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya.”

“Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh!”

“Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya?”

“Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam syurga?”

“Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya?”

“Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!”

“Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api?”

“Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?”

“Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar!”

“Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?”

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah. Setelah membaca Bismillah dia berkata,

-Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t..

-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. Berfirman, “Dan Kami jadikan malam Dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami).” (Al-Isra’: 12).

-Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur’an.

-Lima yang tiada enamnya ialah solat lima waktu.

-Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.

-Tujuh yang tiada lapannya ialah langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. Berfirman, “Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.” (Al-Mulk: 3).

-Lapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy Ar-Rahman. Allah s.w.t. Berfirman, “Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada Hari itu lapan orang malaikat menjunjung ‘Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka.” (Al-Haqah: 17).

-Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu’jizat yang diberikan kepada Nabi Musa yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin topan, musim paceklik, katak, darah, kutu Dan belalang.

-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah kebaikan. Allah s.w.t. Berfirman, “Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat.” (Al-An’am: 160).

-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf.

-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu’jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, “Pukullah batu itu dengan tongkatmu.” Lalu memancarlah daripadanya dua belas Mata air.” (Al-Baqarah: 60).

-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

-Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. berfirman, “Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing. ” (At-Takwir: 18).

-Kuburan yang membawa isinya adalah ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

-Mereka yang berdusta namun masuk kedalam surga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, “Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barangkami, lalu dia dimakan serigala.” Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, “tak ada cercaan terhadap kamu semua.” Dan ayah mereka Ya’qub berkata, “Aku akan memohonkan ampun bagi muka pada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang .” (Yusuf:98)

-Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah s.w.t. berfirman, “Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai.” (Luqman: 19).

-Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.

-Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah s.w.t. berfirman, “Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim.” (Al-Anbiya’: 69).

-Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

-Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah tipu daya wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.” (Yusuf: 28).

-Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja.

Permintaan ini disetujui oleh paderi. Pemuda ini berkata, “Apakah kunci syurga itu?” mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kebimbangannya, namun tidak berhasil.

Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak. Mereka berkata, “Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!”

Paderi tersebut berkata, “Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah.” Mereka menjawab, “Kami akan jamin keselamatan anda.” Paderi pun berkata, “Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah Wa Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.”

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa.
________________________________________
(Di petik dari Mausu’ah al-Qishash al-Waqi’ah)

Si Beloot : Nikmat Tuhan yang mana lagi hendak kamu dustakan !!!

Categories: Al Beloot, Santai, Tazkirah, Umum

Saudara Syaitan !

Salam dari laci kelima…

Melalui kehidupan kita sebagai manusia tidak pernah terlepas dari melakukan pembaziran samada pembaziran harta, wang ringgit, masa dan juga usia kita. Kadang-kadang kita telah cuba sedaya mungkin menyusun setiap perkara agar tidak timbul kecuaian dan pembaziran, tetapi kita tak boleh lari dari sifat suka membazir. Adakah kita ni dah jadi saudara syaitan…renung-renungkan!!

[3624863209_347f858168.jpg]

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada 9 pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu:

1. Ilmu pengetahuan- Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

2. Amalan- Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

3. Kekayaan- Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.

4. Hati- Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.

5. Tubuh badan- Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

6. Cinta- Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

7. Masa- Membazir jika tidak diurus sebaiknya.

8. Akal- Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

9. Zikir.- Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Si Beloot : Aku hanyalah jerangkung dalam almari…

Categories: Al Beloot, Santai, Tazkirah

Inna Ma’al U’sri Yusra

Salam dari Si Beloot....

KITA sering mengkhayalkan alangkah untungnya jika kehidupan di dunia selalunya mudah. Segala keinginan kita tersedia tanpa sebarang rintangan atau perlu untuk bersusah payah. Namun suatu hakikat yang diterima semua manusia ialah kehidupan ini penuh dengan segala rintangan dan cabaran. Kesenangan dan kesusahan datang silih berganti.

Bahkan Allah menyatakan dalam al-Quran, kehidupan ini akan silih berganti antara kesenangan dan kesusahan. Firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 6 yang bermaksud: “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”

Tidak ada jalan mudah bagi manusia. Sebagai makhluk lemah, manusia terpaksa mengharungi semua rintangan untuk mencapai sesuatu matlamat atau untuk meneruskan kehidupan. Lebih-lebih lagi kita sebagai manusia biasa sememangnya terpaksa bergantung dan berhajat kepada orang lain dalam memenuhi keperluan kehidupan di dunia ini.

Sebenarnya segala masalah dan rintangan ini mengandungi suatu hikmah yang amat besar manfaatnya kepada manusia. Ia menyedarkan betapa kita adalah hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada-Nya dan berkeadaan serba kekurangan dan kelemahan. Kita tidak dikurniakan segala macam kesempurnaan oleh Allah dalam mengharungi hidup ini. Bahkan kita perlu menempuhnya dengan pelbagai ujian. Dengan segala masalah, tekanan dan ujian ini manusia menyedari ia hanya seorang hamba yang hina di sisi Tuhan Yang Maha Kaya. Firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: “Tuhan yang mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang paling baik amalannya. Dan Dia Maha Mulia dan Maha Pengampun.”

Kehidupan dan kematian adalah juga suatu ujian yang Allah tetapkan.Ujian yang kita harungi bukanlah sebagai suatu yang sia-sia. Ia adalah satu proses peningkatan darjat dan kedudukan kita yang lebih tinggi di sisi Allah. Kesabaran, kecekalan dan tawakal dalam menghadapi segala macam pancaroba kehidupan menjadikan seseorang itu beroleh pahala yang banyak dan berganda berbanding orang lain yang tidak diuji dengan ujian dan cabaran itu. Akhirnya ia akan bertambah hampir kepada Allah disebabkan pahalanya itu dan kerana banyak berhubung dengan-Nya melalui doa daripada tawakal. Atas sebab itulah darjat mereka yang diuji dengan masalah dan rintangan lebih tinggi dan mulia di sisi Allah. Sehinggalah ke satu tahap ia benar-benar diterima sebagai manusia yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah.

Oleh itu, seharusnya kita bersyukur di sebalik menerima segala permasalahan kerana ia mengandungi hikmah dan rahmat iaitu menyedarkan kita siapa diri kita dan juga mengingatkan bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang perlu kita tunaikan kepada Allah.

Apabila kita menyedari dan menghayati hakikat ini nescaya kita akan kembali kepada Allah setiap kali menghadapi masalah. Dengan cara ini masalah yang kita hadapi akan menjadi ringan. Ini kerana masalah yang mendatang itu tidak lagi dirasakan sebagai beban bahkan dianggap sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, peluang memperbaiki kesilapan dan medan meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah.

Janganlah jadikan diri kita putus asa dengan hidup ini dan putus harap dengan rahmat Allah. Orang yang tidak kembali kepada Allah akan mencari cara penyelesaian yang lain untuk menyelesaikan. Iaitu penyelesaian yang bukan saja bercanggah dengan tuntutan agama bahkan menyalahi fikiran yang waras. Manusia yang tidak menjadikan agama sebagai cara hidup, akan bergantung kepada akal semata-mata dalam menyelesaikan segala permasalahan dan kesulitan yang dihadapi di dunia ini. Kebingungan, tekanan perasaan, kecelaruan pemikiran dan sebagainya yang biasanya menimpa mereka yang ditimpa masalah akan menjadikan mereka mengambil keputusan penyelesaian yang kurang bijak, terburu-buru dan mengikut perasaan. Sebab itulah ada kalangan mereka yang mengambil jalan pintas dengan menelan pil tidur, menggantung diri, menggunakan dadah dan sebagainya yang jauh daripada lunas-lunas agama dan etika moral.

Orang yang beriman pula akan kembali kepada Allah dengan berdoa, membetulkan kesilapan, memohon rahmat, bertawakal dan seterusnya menyerahkan keputusan untung nasibnya kepada Allah. Mereka juga menyedari bahawa segala masalah yang menimpa adalah tanda kasihnya Allah kepadanya iaitu masalah itu menjadi penyebab kepadanya mendekatkan diri kepada Allah daripada kelalaian dan keterlanjuran.

Dengan itu, ia berkesempatan memperbetulkan kesilapan dan keterlanjuran itu sebelum ajal dengan pintu rahmat dan pintu keampunan sudah tertutup. Itulah hikmah dan rahmat di sebalik segala masalah dan kesulitan yang sering manusia lupa.

Si Beloot : Inna maal U’sri yusra….

Categories: Santai, Tazkirah, Umum
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.